Friday 2 December 2011

PERSPEKTIF TEORI

Dari sudut pandangan neoklasik, dunia globalisasi ialah dunia di mana terdapat aliran perdagangan dan modal. Proses globalisasi telah menyebabkan perubahan kepada dasar, komunikasi, kos pengangkutan dan sebagainya. Berdasarkan perspektif teori dalam buku ini, aktiviti pengeksportan oleh negara-negara membangun telah menggalakkan persaingan ekonomi dengan negara lain. Aktiviti ini boleh memberi dorongan kepada negara-negara membangun untuk lebih berdaya saing dalam menghasilkan produk yang lebih baik bagi membnagunkan ekonomi mereka. Perdagangan antarbangsa juga telah memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak (pengeksport-pengimport) kerana dapat memenuhi keperluan dan kepuasan permintaan di mana sesebuah negara tidak mampu menghasilkan semua produk yang diminta oleh pengguna. Oleh itu, perdagangan antarabangsa mampu memenuhi tuntutan pengguna terhadap penggunaan sesuatu barangan.

Secara ringkasnya, teori ini menerangkan perdagangan dan aliran modal yang wujud telah membantu dalam penumpuan pendapatan supaya dalam proses globalisasi ini dapat mendorong negara-negara miskin atau negara-negara membangun berkembang dengan lebih cepat dalam pelbagai aspek sama ada dalam ekonomi, politik mahupun sosial. Hal ini membawa kepada peningkatan taraf hidup dan seterusnya dapat mengurang masalah kemiskinan dalam sesebuah negara.


Perspektif Kebergantungan oleh Andre Gunder Frank (1960an dan 1970an) menerangkan bahawa hubungan yang tidak seimbang antara negara-negara miskin (pinggir) dengan negara-negara kaya dalam pelbagai aspek iaitu ekonomi, politik, sosial dan lain-lain. Hal ini menunjukkan negara-negara miskin masih keterbelakangan dalam semua aspek yang boleh menyebabkan negara-negara miskin tidak dapat berkembang maju seiring dengan peredaran masa. Keterbelakangan merupakan suatu proses ekonomi, politik dan sosial yang terjadi akibat proses globalisasi dan sistem kapitalisme. Keterbelakangan ini juga terjadi akibat pembangunan pesat oleh negara-negara maju dan negara-negara miskin ketinggalan jauh untuk maju. Kemajuan dalam aktiviti perindustrian di negara-negara maju telah memberi keuntungan yang besar serta penggunaan teknologi yang canggih.
 
Tambahan lagi, perspektif ini adalah bertentangan dengan pendapat kaum Marxis klasik. Menurut pandangan Marxis, perkembangan kapitalisme dunia melalui imperialisme akan menyeragamkan cara produksi semua negara-negara di dunia dan membuat semua negara-negara di dunia berkembang dan mencapai kemakmuran. Penindasan kaum borjuis oleh golongan proletariat telah membawa kepada ketidakseimbangan dalam aktiviti ekonomi yang dijalankan. Selain itu, pendapatan yang diterima tidak sepadan dengan tenaga yang dicurahkan. Hal ini menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pekerja. Perspktif teori ini menunjukkan aktiviti perindustrian sangat penting dalam membangunkan sesebuah negara.

No comments:

Post a Comment